NOVEMBER 2022

GPS Akur Titah Agong Tubuh Kerajaan Perpaduan


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini adalah untuk mengatasi kemelut politik negara yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“GPS akur kepada titah Seri Paduka Baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda di bawah Perlembagaan Malaysia. 

“Memang (kita sertai kerajaan perpaduan ini) kerana kita akur kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam Sidang Media selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Petra Jaya di sini pada Khamis. 

Sementara itu, Premier Sarawak berkata, GPS menerima permohonan maaf daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dibuat pada hari ini dengan hati yang terbuka. 

“Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah membuat permohonan maaf terbuka untuk apa-apa kenyataan yang telah menyinggung perasaan kerajaan serta rakyat Sarawak bagi pihak DAP. Ini diikuti permohonan maaf daripada Pengerusi Nasional DAP, Lim Guan Eng menerusi laman Facebook beliau. 

“Kita menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar,” ujarnya. 

Antara yang hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing serta barisan MKT GPS. -Edisi UKAS 

Sumber dari : UKAS